Trip to Bandung – Day 2 & 3 (Kawah Putih, Rancabali, Setiabudi & Pasteur)

DCIM100GOPROGOPR0433.JPGAssalamualaikum dan Salam sejahtera…

Begitu pantas masa berlalu, hari ni dah hari ke-3 saya dan hubby berada di Bandung. Esok dah nak balik KL dah. Haiiisshhh… malasnya nak balik. Masih rasa tak puas duduk di Bandung ni.

Untuk makluman Bandung ni memang syurga membeli belah dan makan. Part makan tu sampai tak larat nak cuba semua. Bermacam-macam jenis makanan yang ada di mana semuanya rasa nak dicuba. Trip kali ni saya langsung tak pergi ke Pasar Baru. 2 hari masa saya habiskan di Rumah Mode.

Mula ni saya nak cerita tentang hotel penginapan saya iaitu Aston Pasteur Hotel.  Kalau duduk di sini dari segi bilik memang selesa, cuma kalau nak berenang kedudukan kolam renangnya sangat tidak sesuai. Ianya terletak di aras satu bersebelahan dengan coffee house. Kerana tiada privasi, ianya membuatkan saya membatalkan niat saya nak berenang di situ. Dari segi sarapan paginya pula banyak pilihan makanan dan rasanya memang sedap. Pelbagai jenis juadah dan memang tak mampu nak cuba semua.

Kalau duduk di Hotel Aston ni, restaurant-restaurant makan yang menarik terdapat banyak di sekeliling hotel. Semuanya walking distance je. Cuma masalah nak menyeberang jalan jer yang amat susah sebab jumlah kenderaan yang terlalu banyak dan motor yang laju. Restoran yang paling hampir dengan hotel kami menginap adalah Warung Sate Shinta yang kedudulannya hanya di sebelah hotel, Rumah Makan Sunda Bambu, Restaurant Padang Sederhana, Rumah Makan Saung Kebayan, dan Raja Sunda, antara yang menarik. Kalau kedai makan jenis gerai-gerai tepi jalan memang berlambak di sepanjang jalan, tapi saya tak galakkan untuk makan disini kerana ianya nampak kurang bersih.

Terdapat juga Shopping complex iaitu BTC Fasion Mall berhampiran hotel ini.  Semasa kami berjalan menuju ke Rumah Makan Saung Kebayan kami singgah di kedai ole-ole Bandung di mana ada menjual kek Bandung Makuta. Apa yang memarik berkenaan dengan Bandung Makuta ini ianya dimiliki oleh pelakon Indonesia iaitu Bella Chinta Laudia (Teh Bella) iaitu isteri kepada Ku Emran (Bekas suami Era Fazira). So kami pun beli lah nak mencuba kek Makuta ini.

DCIM100GOPROGOPR0354.JPG

Sekarang masuk cerita tentang kunjungan kami ke Kawah Putih semalam (day 2). Kami mulakan perjalanan dari Hotel ke Kawah Putih pada jam 7.45 pagi. Untuk makluman di Bandung pukul 5.45 pagi dah cerah seperti jam 7 pagi di KL. Saya fikirkan dah terlewat tapi rupanya memang di sini cerahnya cepat dan pukul 5.30 petang dah macam jam 7 malam di KL. Perjalanan ke Kawah Putih mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih. Di Kawah putih ni walaupun nampak macam panas dengan matahari terik tetapi suhunya adalah sekitar 17-18 degree ditambah pula dengan angin yang sejuk. So bawa la baju tebal sedikit. Jangan jadi macam saya kesejukan. Niat nak habiskan masa 2 jam di Kawah Putih akhirnya hanya satu jam jer sebab dah tak tahan sejuk.

Kawah Putih ni terhasil dari letusan Gunung Patuha. Nama Kawah Putih merujuk pada tanahnya yang berwarna putih. Warna putih tanah tersebut disebabkan oleh beberapa unsur yang bercampur dengan belerang. Apa yang unik tentang Kawah putih ini adalah airnya yang berwarna putih kehijauan. Dikatakan airnya dapat berubah-ubah mengikut kadar belerang, suhu, dan cuaca yang terjadi pada sesuatu masa.

Di kawah putih ni disarankan menggunakan face mask sebab bau sulfurnya sangat kuat dan jangan lupa pakai sunglasses sebab keadaan sangat debu pasir dan keadaan berangin. So debu tu senang jer masuk ke dalam mata. Selain itu disarankan hanya berada selama 15 minit sahaja berhampiran kawah. Ada tertulis di papan notis. Namun ramai sahaja tetamu yang datang berada di situ melebihi 15 minit yang disarankan. Ini termasuklah saya dan hubby. Apa tidaknya ramai yang ambil peluang bergambar sebab pemandangannya memang sangat cantik.

Oh ya kadar masuk untuk warga Indonesia adalah IDR 20K (RM5.60) dan untuk bukan rakyat Indonesia IDR75K. 3 kali ganda nilainya. Di sini siapa yang menaiki bas atau motosikal boleh menyewa van untuk ke atas dengan kadar IDR20K. Seperti saya katakan kami telah menempah pemandu peribadi dengan kadar IDR500K. Tetapi untuk tol, parking dan apa juga bayaran masuk kita bayar sendiri ya. Alhamdulillah kami mendapat pemandu yang sangat ramah dan baik orangnya so siap saya bagi tips la untuk dia dan ajak makan sekali. Sebabnya saya rasa terlalu murah bayaran yang dikenakan dengan dia kena menunggu lami sehingga jam 9 malam. Di Malaysia tak mungkin dapat servis macam ni. Mungkin juga sebab terlalu banyak saingan. Sampaikan nak balik esok pun dan siap book Mr. Budi tu… Hubby memang simpan no hp dia, mana tau nanti nak datang lagi boleh contact dia.

Selesai di Kawah Putih kami singgah pula di Rancabali. Sepanjang perjalanan sebenarnya terdapat banya lagi tempat-tempat menarik yang boleh dicuba seperti hot spring, strawberry farm, tasik dan kebun teh yang sangat luas. Tapi kami memilih untuk ke Glamping Lake Side Chalet, Rancanbali ni terletak di daerah Ciwidey. Di sini terdapat restaurant yang dipanggil Pinisi Resto Rancabali atau nama lain, Bahtera Resto. Restaurant ni betul-betul-betul seperti kapal dan terdapat 2 tingkat. Di sini kami berhenti untuk makan sambil menikmati pemandangan tasik dan kebun teh. Terdapat pilihan makanan sunda, padang dan lain-lain lagi masakan Indonesia. Saya memilik nasi Timbel dab Hubby memilih nasi Liwet. Lauknya kita boleh pilih apa sahaja. Untuk masuk di sini juga dikenakan bayaran IDR20K seorang dan bagi yang nak ke restaurant menggunakan jambatan gantung, dikenakan lagi bayaran IDR10K. Parking pun berbayar.  Bukan macam di Cameron ya, parking sahaja tanpa bayaran. Walaubagaimanapun, perbelanjaaannya tetap murah dan kawasan disitu amatlah bersih dan dipelihara dengan baik.

Sebenarnya pada awalnya saya rancang nak menginap di sini. Tetapi disebabkan booking hotel tak boleh di buat sekali dengan penerbangan melalui online maka hasrat tu dibatalkan jer. Di sini terdapat chalet dengan pemandangan tasik dan dikelilingi kebun teh. Terdapat juga penginapan berbentuk khemah. Ada juga spot-spot lain yang menarik di sini, tetapi saya dah merasa kepenatan nak pergi.

Kami terus balik di Bandung dan menuju ke the Secret, Heritage Factory Outlet dan tempat sekitarnya. Pulang ke Hotel jam lebih kurang 9 malam. Disebabkan badan kelesuan saya kemudiannya pergi ke Javana Spa yang terletak di tingkat 1 hotel. Untuk 1 jam 30 minit hanya IDR375K (RM105). Boleh dikatakan murah untuk servis di hotel bertaraf 4 bintang. Urutannya sangat bagus dan memang boleh tidur nyenyak. Cumanya di sini mereka tidak ada wang kecil untuk memberi balik baki duit kita. Jadinya bawa wang yang cukup-cukup ya. Kalau tidak baki tu anggap halal jer lah.

Hari kedua berlalu dengan lawatan ke sebelah selatan bandung dan hari ke tiga hanya dihabiskan di sekitar Bandung dengan aktiviti membeli belah semula di Rumah Mode. Tempat-tempat lain memang tak dapat lawan rumah Mode ni kata hubby. Saya juga ada beli kasut yang seperti anyaman tikar  yang mana sangat selesa dipakai. Hinggakan esok sebelum balik saya merancang membeli satu lagi dengan warna hitam. Memang hajat kami bershopping kali ini menjadi. Habis rupiah yang dibawa kad kredit lah menjadi mangsa… Hubby pun sakan bershopping. Itu saja perkongsian kami di Bandung….