Keputusan IVF Pertamaku

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Hari ini saya abadikan di blog ini keputusan proses IVF yang telah saya jalani pada 20.08.2018 (ET).  Bagi yang pernah melaluinya pasti akan tahu bertapa siksanya penantian bagi tempoh 2 minggu sebelum keputusan IVF tersebut diketahui. Ianya bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai cabaran perlu dilalui.

Setiap orang pasti punyai cara tersendiri untuk memenuhi tempoh 2 minggu menunggu tersebut (two week wait -TWW). Dalam tempoh ini pesanan Dr. yang paling penting kita tak boleh stress, jangan marah-marah, nak gelak pun tak boleh kuat-kuat. Pendek kata apa-apa aktiviti yang boleh mendatangkan impak di bahagian abdominal perlu dielakkan. Tapi malangnya dalam tempoh selepas ET juga lah batuk bertandang dan saya cuba sedaya upaya kawal keadaan batuk tersebut.

Sepanjang tempoh 2 minggu saya habiskan di rumah sahaja. Tidak lah bed rest secara terbaring berterusan di katil, namun saya hanya ada di rumah dan pergerakan saya terbatas hingga ke ruang tamu atau dapur dan pergi ke klinik. Saya habiskan masa dengan aktiviti seperti solat (saya tak solat duduk, solat seperti biasa), berzikir, membaca Al-Quran, baca buku-buku agama dan habiskan juga masa di handphone. Tugas pejabat yang cuba dihindari juga datang dan terpaksa juga dilayan melalui telefon. Sememangnya 2 minggu tersebut dirasakan sangat lama. Namun demi keinginan untuk punyai cahayamata sendiri seperti pasangan lain ditempuh juga dengan sabar. Adik saya dari Sarawak pun datang membantu untuk menjaga keperluan makan dan minum saya bagi tempoh 2 minggu ini especially penjagaan part makan dan minum, juga menjadi my personal driver.

Pada ketika ini memang saya akui saya tak boleh tidur dengan lena. Mungkin terlalu banyak berehat di siang hari. Baru nak tidur lena alarm berbunyi menandakan perlu masukkan ubat pada jam 5 pagi dan 7 pagi pula utk makan vitamin. Bagi ubat yang 3 kali sehari tu pula kita terpaksa berbaring 1 jam selepas ubat dimasukkan. Masa-masa untuk makan ubat saya memang set di alarm handphone sebab semua ubat-ubat perlu diambil tepat pada masanya. Dr. maklum sebaik-baiknya tak boleh melebihi 15 minit. Ada ubat yang perlu diambil sekali sehari, ada yang 2 kali sehari dan ada yang 3 kali sehari. Begitu lah saya aturkan masa-masa saya.

Dr. membuat perkiraan akan membuat ujian kehamilan terhadap saya pada hari ke 16 iaitu pada hari Selasa 4.9.2018. Dr. pesan jangan check sendiri bagi mengelakkan stress. Tapi apa berlaku pada 3.9.2018 hati saya tak tenang namun saya berjaya juga menahan diri dari membuat ujian sendiri. Sehinggakan saya pada malamnya tak boleh nak tidur. Bila terjaga jam 3 pagi saya buat solat Tahajud dan Solat Hajat memohon bantuan pada yang Esa. Pagi tu selepas masukkan ubat pada jam 5 pagi saya sempat terlena. Bila jam menunjukkan jam 9 pagi cepat-cepat saya ajak suami ke klinik. Kami sampai di Klinik dalam jam lebih kurang 10 pagi.

Sesampai di klinik Mey saya diminta memberi sample urine untuk dibuat ujian kehamilan melalui air kencing terlebih dahulu. Selesai memberi sampel saya menunggu sebentar sebelum Dr. memanggil ke dalam bilik. Saya sentiasa ditemani Mr. Hubby. Sanggup pula dia ambil cuti untuk temankan saya. Tq Mr. Hubby yang selalu bagi semangat di saat saya bersedih dan down. Suami yang sentiasa memahami diri ini. Hati berdebar hanya Allah yang tahu. Akhirnya saya terima keputusan ujian air kencing yang mana keputusannya adalah negatif. Sedihnya hanya Allah yang tahu hingga bergenang air mata. Sedaya upaya saya tahan supaya tak tertumpah di hadapan Dr. dan nurse. Dr. Salini sabarkan saya dan kata akan buat ujian darah untuk lebih tepat. Sebelum itu Dr. scan perut untuk lihat keadaan rahim. Pada masa tu apa juga penerangan Dr. saya tak dapat fokus dah.

Part ambil darah pun tragis jugak. Banyak kali di cuba darah tidak keluar. Sehinggakan Dr. terpaksa bagi saya minum air dan rehat sebentar. Terpaksa tukar jarum kepada jenis butterfly. Cubaan ke 5 rasanya baru berjaya. Lebam-lebam lah juga tangan dibuatnya. Jarum jenis butterfly ni boleh tahan juga sakitnya.

Selepas sampel diambil saya segera minta keluar. Dr. tanya nak bagi keputusan ujian darah melalui call or whatsApp. Saya jawab cukup WhatsApp.  Selepas membuat pembayaran saya segera keluar. Rasanya saya melangkah agak laju keluar dr klinik tersebut. Dah tak ada lagi jalan perlahan. Sampai di kawasan parking airmata yang ditahan keluar dengan laju. Suami cuba tenangkan saya. Semahunya saya menangis di bahu suami. Saat ini saya menangis teresak-esak. Suami sabarkan saya dan maklum jangan putus harap.  Nanti cuba lagi. Apa tidaknya selama tempoh 2 minggu tersebut saya bayangkan embryo kami telah ada di rahim saya. Saya telah nampak dua embryo tersebut membahagi. Masa menjaganya saya membayangkan diri mengandung dan selalu mercakap-cakap dengannya untuk duduk dengan baik di rahim saya. Setiap sujud terakhir tidak pernah lupa saya memohon pada Allah untuk kedua-dua embryo tersebut berkembang menjadi baby-baby yang sihat. Saya telah cuba sedaya upaya menjaganya.  Bila tahu gagal terasa kehilangannya macam tak boleh diterima.

Lebih kurang jam 3 petang saya dihubungi oleh nurse di Klinik Mey bagi memaklumkan keputusan darah. Berharap iyanya berita yang mengembirakan tapi gagal juga. Sekiranya mengandung tahap Beta HSG sekurang-kurangnya 2 di perlukan. Tapi untuk saya amat jauh. Paras beta HSG saya cuma 0.6. Begitu la berakhirnya perjalanan IVF pertama saya. Ianya menemui kegagalan dan amat menyedihkan. Dengan usia saya yang makin meningkat mampukah lagi untuk saya lalui IVF yang lain. Ditambah pula dengan kos IVF yang bukannya sedikit.

Hari tu suami cuba hiburkan hati saya dengan membawa saya berjalan-jalan. Kami menonton Cerita Hantu Kak Limah di IOI Setia Mall Putrajaya. Memang cerita ini amat menghiburkan dan dapat hilangkan sedikit tekanan. Namun bila bercakap dengan emak dan ayah pasti air mata tak dapat dibendungkan. Mereka pun turut tidak henti mendoakan untuk saya. Sayu hati bila bercakap dengan mereka. Adik saya yang paling brutal yang setia menjaga saya pun menangis dan minta saya bersabar. Kesedihan IVF ni lebih dari kegagalan IUI. Mungkin sebab kita dah nampak embryo kita dan telah melalui dibius sehingga tak sedar dan pelbagai lagi.

Doakan saya tak putus harap. Kepada yang senasib dengan saya semoga perjalanan kita semua dipermudahkan. Bukan senang untuk mendapat Zuriat dan mendapat berita cubaan yang dibuat gagal juga memerlukan kekuatan.

Bukan sekadar berhabis wang ringgit, masa, dan usaha. Namun perlukan juga kesabaran dan ketabahan yang kuat. Semoga perjalanan semua warga TTC dipermudahkan dan mendapat perkhabaran yang diidamkan. Moga bertemu lagi kita di lain entry yang mendatang. Mana tau saya dianugerahkan mengandung secara normal. Kuasa Allah kan. Kun Fa ya Kun. Insyallah- SNB