Perjalanan IVF Pertama – Part III

Assalamualaikum dan salam sejahtera….

Seperti saya janjikan, now saya update sedikit berkaitan IVF yang sedang saya lalui.  Ketika saya menulis ini telah masuk hari ke-15 selepas Embryo Transfer (ET) yang telah dijalankan pada 20.08.2018.  Tapi sehingga kini saya masih belum tahu keputusannya kerana esok 4.9.2018 (Selasa) barulah Dr. akan buat ujian kehamilan. Saya perlu bertabah untuk sehari sahaja. Tempoh menunggu selama 2 minggu ini rupanya amat mencabar bagi insan yang senasib dengan saya. Insan yang mendambakan kehadiran permata hati. Hanya mereka yang melaluinya akan faham perasaan ini.

Sebenarnya terdetik dalam hati untuk membuat ujian sendiri tapi atas nasihat Dr. dan Mr. Hubby saya bertabah juga untuk menunggu sehingga ke hari esok. Apa yang akan terjadi esok hanya Allah S.W.T yang mengetahuinya. Doakan saya redha menerima apa jua keputusan yang bakal diketahui nanti.

Saya imbas kembali proses ET yang lepas. Pada 19.8.18 sebaik selesai update blog ni (Part II) saya terima panggilan telefon menyatakan terdapat 5 biji telur yang berjaya dikeluarkan tapi hanya 2 sahaja yang berjaya fertilize. Saya diminta datang ke Metro IVF Klang pada 20.8.18 jam 6.30 pagi untuk proses pemindahan Embryo (ET). Proses ET dijangka akan berlangsung pada jam 7 pagi.

Dipendekkan cerita pada 20.8.18, 5 minit lagi ke 6.30 pagi saya dan suami telah sampai di Metro IVF Klang. Seperti biasa kami perlu mendaftar dan saya diminta untuk tukar baju dan menunggu di ward. Untuk makluman bagi proses ET ni juga suami dan isteri tidak dibenarkan untuk memakai sebarang pewangi, lotion, diadorent, dan makeup. Ini bagi mengelak contamination pada machine yang bakal digunakan di Operation Room nanti.

Bagi proses ET sebelum saya di bawa masuk ke Operation Room, saya telah diberi 3 gelas air kosong untuk di minum dan seterusnya saya tidak dibenarkan kencing hingga 2 jam lamanya selepas ET.

Jam 7 pagi saya di bawa oleh nurse menggunakan kerusi roda dengan diiringi Mr. Hubby ke Operation Room. Sebelum itu kami diberi peluang melihat embryos yang terhasil. Embryologist yang bertugas menerangkan bahawa Embryo yang terhasil adalah Grade 3. Yang terbaik adalah Grade 1 dan yang paling tak elok adalah grade 5. Jadi kami ni pertengahan. Satu embryo bertumbuh agak cepat manakala satu lagi pada tahap normal. Sedikit kesedihan bertandang di hati tapi penjelasan embryologist menyatakan ada juga kejayaan untuk Grade 3 melegakan sedikit kerisauan yang mula bertandang. Melihat sahaja embryo tersebut hati terasa sayu dan berdoa baby hadirlah dalam hidup Mama dan Papa. Kami rindu kehadiran kalian. Betapa besarnya kuasa Allah S.W.T mampu mencipta manusia yang boleh mencipta teknologi IVF ini.

Selesai sesi penerangan saya dibawa masuk ke bilik Operation Room di tingkat 2 iaitu tempat yang sama Ovum Pick Up (OPU) dilakulan. Cuma kali ini yang berbeza Mr. Hubby dibenarkan masuk menemani dan pemindahan dilakukan tanpa bius. Maksudnya saya sedar apa yang dilakukan oleh Dr. Menurut Dr. Tee saiz rahim saya sesuai. Dr. Tee juga sempat berborak minta jaga pemakanan dan jangan melakukan aktiviti-aktiviti lasak bagi tempoh 2 minggu. Antara buah yang baik adalah Buah Dragon Fruit dan kiwi. Perlu dielakkan buah nenas, betik, tembikai, pisang dan kelapa. Makanan menggunakan herba juga tidak digalakkan untuk diambil.

So bila tiba masa pemindahan Dr. Minta fokus pada screen yang mana dia memaklumkan dia akan melepaskan Embryo kami dikedudukan yang terbaik di rahim. So bila dilepaskan dapat nampak benda kecil yang bersinar namun tidak berapa jelas sebab saiz embryo tersebut sangat kecil. Moga selesa embabies mama papa di dalam rahim mama dan terus membesar hingga ke 9 bulan menjadi baby yang sihat.

Selesai ET saya di tolak masuk ke ward oleh nurse. Terbaring dengan keadaan terlentang tanpa alas di kepala membuatkan saya berasa pening. Sampai di katil untuk tempoh 2 jam saya tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang pergerakan melibatkan bahagian abdominal kecuali tangan dan kaki. Situasi ini sangat mencabar dengan perut yang telah terasa kembung dengan air. Saya cuba untuk tidur tapi tak berjaya. So saya guna handphone untuk menghabiskan masa 2 jam tersebut.

Akhirnya tempoh 2 jam berakhir. Tempat pertama saya tuju adalah tandas. Dengan perlahan saya melangkah walaupun rasa nak kencing tu Tuhan jer yang tahu. Tapi demi embabies mama perlahankan jalan seperti orang lepas bersalin gayanya.

Selesai di tandas saya kembali semula ke ward. Masa ni Dr. Sailani melawat. Beliau meminta maaf kerana tak sempat bersama-sama semasa proses ET. Tapi saya katakan ok. So beliau terangkan do n dont selama tempoh 2 minggu dan sekiranya berjaya perlu diteruskan hingga ke 3 bulan kandungan. Dia maklumkan pd Mr Hubby jangan bagi saya buat kerja2 berat. Hanya kerja2 ringan jer. Selepas tu nurse pula datang bagi ubat. Kali ini ubat yang sama masa OPU dibekalkan cuma tambahannya ada aspirin dan perlu injection setiap 1 minggu.

Saya di ward sehingga jam 12 tgh hari. Mr. Hubby saya menghilang entah ke mana. Sedih juga sbb nak air kena panggil nurse. Masa ni tetiba rasa sensitif.  Selesai lunch baru kami balik. Saya diberi cuti sakit selama 1 minggu. Sementara suami menguruskan MC saya saya berjalan ke kereta yang diparking di hadapan hospital. Buka kereta saya ternampak ada fruit basket di dalam kereta. Rupanya suami hilang tadi mencari buah Dragon fruit dan bunga. Lupa segala sedih dan diganti dengan rasa terharu. Tq Mr. Hubby sayang.

Kali ini saya terus balik di apartment kami di Bukit Jalil. Reasonnya tak duduk di Denai Alam sebab diperingkat awal saya tak nak naik tangga. So di Bukit Jalil la tempat saya menginap untuk tempoh 2 minggu. Cuma bila ke klinik saya akan menginap di Denai Alam kerana berhampiran dengan Klinik Mei. Itu pun saya hadkan pergerakan naik tangga hanya sekali sahaja sehari. Bagi tempoh ini makan minum saya dijaga olek Kakak yang kebetulan datang ke KL dari Sarawak untuk menghantar anaknya ke UITM Shah Alam. Hari-hari seterusnya adik saya dari Sarawak mengambil cuti sehingga 2 minggu bagi menemani saya. Terharu sungguh dengan pertolongan mereka demi nak membantu kakak/adiknya mendapat Zuriat. Jadi tidak lah saya sunyi sangat sepanjang tempoh 2 minggu menanti ni sebab ada peneman.

Tapi untuk tempoh 48 jam selepas ET Mr. Hubby lah yang membantu saya. Buat petama kalinya suami memasak sayur tauge dan ayam goreng. Walaupun sayurnya berminyak makan juga dengan berselera sebab lapar. Sejak buat IVF ni saya asyik lapar. Mungkin juga kesan pengambilan pelbagai ubat. Pelu juga minum air 2 liter atau lebih sebab even dah minum 2 liter air bibir saya masih kering.

Selepas 24 jam suami saya telah bawa ibu dan maid ibunya ke rumah. So dia tak memasak lagi. Kebetulan juga hari ke 3 selepas ET merupakan Hari Raya Aidiladha. So keluarga sebelah suami datang ke rumah dengan membawa sendiri lauk-pauk. Ibu mertua siap buat rendang ayam, rendang daging dan kuah satey bersama nasi himpit. Kakak ipar lak buat Laksa kedah. Tn. Rumah tak dapat nak masak-masak. Itulah Raya Haji pertama di Bukit Jalil. Walau tanpa persiapan jadi meriah juga dengan kehadiran sanak saudara. Saya memang banyak berehat di katil dan sekali sekala duduk di ruang tamu bersama keluarga suami. Mujur ahli keluarga memahami sebab suami dah explain.

Sehingga ke hari ini telah 15 hari ET berlalu. Esok penentu segalanya. Ada satu ketika dalam solat saya menangis bila terasa simptom-simptom macam period nak datang. Tetapi pemeriksaan susulan di Klinik sebanyak 2 kali menampakkan rahim saya bertambah baik dengan keadaan ovari yang telah sembuh. Dr. kata kira cepat juga la penyembuhan ovari saya. Tapi masa ni tak akan nampak apa-apa lagi. Kena tunggu sehingga another 2 or 3 weeks untuk melihat kantung sekiranya IVF berjaya.

Kepada yang membaca doakanlah IVF saya ini berjaya. Saya doakan juga mereka yang senasib dengan saya juga dipermudahkan untuk mendapat zuriat yang dinanti.

Sehingga kita ketemu lagi di entries yang lain Insyallah. – SNB