Trip to Bandung – Day 2 & 3 (Kawah Putih, Rancabali, Setiabudi & Pasteur)

DCIM100GOPROGOPR0433.JPGAssalamualaikum dan Salam sejahtera…

Begitu pantas masa berlalu, hari ni dah hari ke-3 saya dan hubby berada di Bandung. Esok dah nak balik KL dah. Haiiisshhh… malasnya nak balik. Masih rasa tak puas duduk di Bandung ni.

Untuk makluman Bandung ni memang syurga membeli belah dan makan. Part makan tu sampai tak larat nak cuba semua. Bermacam-macam jenis makanan yang ada di mana semuanya rasa nak dicuba. Trip kali ni saya langsung tak pergi ke Pasar Baru. 2 hari masa saya habiskan di Rumah Mode.

Mula ni saya nak cerita tentang hotel penginapan saya iaitu Aston Pasteur Hotel.  Kalau duduk di sini dari segi bilik memang selesa, cuma kalau nak berenang kedudukan kolam renangnya sangat tidak sesuai. Ianya terletak di aras satu bersebelahan dengan coffee house. Kerana tiada privasi, ianya membuatkan saya membatalkan niat saya nak berenang di situ. Dari segi sarapan paginya pula banyak pilihan makanan dan rasanya memang sedap. Pelbagai jenis juadah dan memang tak mampu nak cuba semua.

Kalau duduk di Hotel Aston ni, restaurant-restaurant makan yang menarik terdapat banyak di sekeliling hotel. Semuanya walking distance je. Cuma masalah nak menyeberang jalan jer yang amat susah sebab jumlah kenderaan yang terlalu banyak dan motor yang laju. Restoran yang paling hampir dengan hotel kami menginap adalah Warung Sate Shinta yang kedudulannya hanya di sebelah hotel, Rumah Makan Sunda Bambu, Restaurant Padang Sederhana, Rumah Makan Saung Kebayan, dan Raja Sunda, antara yang menarik. Kalau kedai makan jenis gerai-gerai tepi jalan memang berlambak di sepanjang jalan, tapi saya tak galakkan untuk makan disini kerana ianya nampak kurang bersih.

Terdapat juga Shopping complex iaitu BTC Fasion Mall berhampiran hotel ini.  Semasa kami berjalan menuju ke Rumah Makan Saung Kebayan kami singgah di kedai ole-ole Bandung di mana ada menjual kek Bandung Makuta. Apa yang memarik berkenaan dengan Bandung Makuta ini ianya dimiliki oleh pelakon Indonesia iaitu Bella Chinta Laudia (Teh Bella) iaitu isteri kepada Ku Emran (Bekas suami Era Fazira). So kami pun beli lah nak mencuba kek Makuta ini.

DCIM100GOPROGOPR0354.JPG

Sekarang masuk cerita tentang kunjungan kami ke Kawah Putih semalam (day 2). Kami mulakan perjalanan dari Hotel ke Kawah Putih pada jam 7.45 pagi. Untuk makluman di Bandung pukul 5.45 pagi dah cerah seperti jam 7 pagi di KL. Saya fikirkan dah terlewat tapi rupanya memang di sini cerahnya cepat dan pukul 5.30 petang dah macam jam 7 malam di KL. Perjalanan ke Kawah Putih mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih. Di Kawah putih ni walaupun nampak macam panas dengan matahari terik tetapi suhunya adalah sekitar 17-18 degree ditambah pula dengan angin yang sejuk. So bawa la baju tebal sedikit. Jangan jadi macam saya kesejukan. Niat nak habiskan masa 2 jam di Kawah Putih akhirnya hanya satu jam jer sebab dah tak tahan sejuk.

Kawah Putih ni terhasil dari letusan Gunung Patuha. Nama Kawah Putih merujuk pada tanahnya yang berwarna putih. Warna putih tanah tersebut disebabkan oleh beberapa unsur yang bercampur dengan belerang. Apa yang unik tentang Kawah putih ini adalah airnya yang berwarna putih kehijauan. Dikatakan airnya dapat berubah-ubah mengikut kadar belerang, suhu, dan cuaca yang terjadi pada sesuatu masa.

Di kawah putih ni disarankan menggunakan face mask sebab bau sulfurnya sangat kuat dan jangan lupa pakai sunglasses sebab keadaan sangat debu pasir dan keadaan berangin. So debu tu senang jer masuk ke dalam mata. Selain itu disarankan hanya berada selama 15 minit sahaja berhampiran kawah. Ada tertulis di papan notis. Namun ramai sahaja tetamu yang datang berada di situ melebihi 15 minit yang disarankan. Ini termasuklah saya dan hubby. Apa tidaknya ramai yang ambil peluang bergambar sebab pemandangannya memang sangat cantik.

Oh ya kadar masuk untuk warga Indonesia adalah IDR 20K (RM5.60) dan untuk bukan rakyat Indonesia IDR75K. 3 kali ganda nilainya. Di sini siapa yang menaiki bas atau motosikal boleh menyewa van untuk ke atas dengan kadar IDR20K. Seperti saya katakan kami telah menempah pemandu peribadi dengan kadar IDR500K. Tetapi untuk tol, parking dan apa juga bayaran masuk kita bayar sendiri ya. Alhamdulillah kami mendapat pemandu yang sangat ramah dan baik orangnya so siap saya bagi tips la untuk dia dan ajak makan sekali. Sebabnya saya rasa terlalu murah bayaran yang dikenakan dengan dia kena menunggu lami sehingga jam 9 malam. Di Malaysia tak mungkin dapat servis macam ni. Mungkin juga sebab terlalu banyak saingan. Sampaikan nak balik esok pun dan siap book Mr. Budi tu… Hubby memang simpan no hp dia, mana tau nanti nak datang lagi boleh contact dia.

Selesai di Kawah Putih kami singgah pula di Rancabali. Sepanjang perjalanan sebenarnya terdapat banya lagi tempat-tempat menarik yang boleh dicuba seperti hot spring, strawberry farm, tasik dan kebun teh yang sangat luas. Tapi kami memilih untuk ke Glamping Lake Side Chalet, Rancanbali ni terletak di daerah Ciwidey. Di sini terdapat restaurant yang dipanggil Pinisi Resto Rancabali atau nama lain, Bahtera Resto. Restaurant ni betul-betul-betul seperti kapal dan terdapat 2 tingkat. Di sini kami berhenti untuk makan sambil menikmati pemandangan tasik dan kebun teh. Terdapat pilihan makanan sunda, padang dan lain-lain lagi masakan Indonesia. Saya memilik nasi Timbel dab Hubby memilih nasi Liwet. Lauknya kita boleh pilih apa sahaja. Untuk masuk di sini juga dikenakan bayaran IDR20K seorang dan bagi yang nak ke restaurant menggunakan jambatan gantung, dikenakan lagi bayaran IDR10K. Parking pun berbayar.  Bukan macam di Cameron ya, parking sahaja tanpa bayaran. Walaubagaimanapun, perbelanjaaannya tetap murah dan kawasan disitu amatlah bersih dan dipelihara dengan baik.

Sebenarnya pada awalnya saya rancang nak menginap di sini. Tetapi disebabkan booking hotel tak boleh di buat sekali dengan penerbangan melalui online maka hasrat tu dibatalkan jer. Di sini terdapat chalet dengan pemandangan tasik dan dikelilingi kebun teh. Terdapat juga penginapan berbentuk khemah. Ada juga spot-spot lain yang menarik di sini, tetapi saya dah merasa kepenatan nak pergi.

Kami terus balik di Bandung dan menuju ke the Secret, Heritage Factory Outlet dan tempat sekitarnya. Pulang ke Hotel jam lebih kurang 9 malam. Disebabkan badan kelesuan saya kemudiannya pergi ke Javana Spa yang terletak di tingkat 1 hotel. Untuk 1 jam 30 minit hanya IDR375K (RM105). Boleh dikatakan murah untuk servis di hotel bertaraf 4 bintang. Urutannya sangat bagus dan memang boleh tidur nyenyak. Cumanya di sini mereka tidak ada wang kecil untuk memberi balik baki duit kita. Jadinya bawa wang yang cukup-cukup ya. Kalau tidak baki tu anggap halal jer lah.

Hari kedua berlalu dengan lawatan ke sebelah selatan bandung dan hari ke tiga hanya dihabiskan di sekitar Bandung dengan aktiviti membeli belah semula di Rumah Mode. Tempat-tempat lain memang tak dapat lawan rumah Mode ni kata hubby. Saya juga ada beli kasut yang seperti anyaman tikar  yang mana sangat selesa dipakai. Hinggakan esok sebelum balik saya merancang membeli satu lagi dengan warna hitam. Memang hajat kami bershopping kali ini menjadi. Habis rupiah yang dibawa kad kredit lah menjadi mangsa… Hubby pun sakan bershopping. Itu saja perkongsian kami di Bandung….

Trip to Bandung – Day 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Hari ini saya share percutian saya dan Mr. Hubby di Bandung, Indonesia. Bersempena dengan cuti Hari Malaysia kami pun ambil kesempatan untuk bercuti dan merehatkan diri di luar negara. Percutian ini juga hadiah masing-masing untuk ulang tahun perkahwinan kami yang ke tiga.

Kebiasaannya kalau bercuti di Indonesia atau Thailand  kami akan menempah terus tiket bersama hotel melalui Airasia Go. Pendek kata kebanyakan percutian kami akan menggunakan Airasia. Sehinggakan telupa adanya Malindoair. So kali ini kami bercuti dengan menempah menggunakan Malindoair. Sebenarnya lebih berbaloi menggunakan Malindoair dari Airasia sebabnya, bagasi tak perlu beli dan memang dah dapat 25 Kilo. Jadi 2 orang boleh dapat 50 Kg. So memang bawa satu beg besar lah untuk simpan barang. Di samping itu makanan pun disediakan.  Kalau bernasib baik dapat flight yang boleh tengok movie. Walaupun hanya sandwich yang dihidangkan tapi sedap jugak rasanya dan packaging nya boleh kata setaraf MAS juga la. Yang penting makanan pun free. Airasia semuanya kena beli.

Untuk kali ini kami bercuti selama 4 hari 3 malam iaitu dari 15 hingga 18 September 2018. Hotel pilihan kami adalah di Aston Pasteur iaitu hotel bertaraf 4 bintang siap dengan sarapan pagi. Untuk kos penerbangan dan penginapan, kami hanya bayar RM2,054.66. Sangat berbaloi untuk 2 orang. Ini pun kami booking last minute. Kalau tempah awal lagi mungkin lebih murah. Kali ni tolong promote Malindoair lak. Cumanya Malindoair ni penerbangannya tak banyak dalam sehari dan mungkin nasib saya dengan Malindo ni selalu jer mesti ada delay.

Cukup part tempahan hotel. Berbalik semula pada percutian kami di Bandung. Tujuan saya dan hubby ke Bandung hanya nak shopping, makan-makan dan rehat. Kami tak merancang untuk explore sangat tempat-tempat lain. Shopping tu perkara wajib sebab memang lama kami tak bershopping dan memang nak membeli belah di sini. Cuma hari ke dua kami bercadang melawat ke Kawah Putih dan ke Gampling, RancaBali. Selebihnya hanya jalan-jalan di sekitar Bandung.

Hari pertama kami sampai di Hotel penginapan jam lebih kurang 4 petang. Kami di hotel menggunakan pengangkutan dari airport dengan Charge IDR200,000 (RM56 duit Malaysia). Kadar tukaran semasa saya pergi adalah 1 Juta bersamaan RM280. Sampai di hotel kami rehat 1 jam. Than terus sahaja booking Grab untuk ke Rumah Mode. Rumah Mode ni antara tempat shopping yang wajib dikunjungi jika bertandang di Bandung. Di sana sahaja kami habiskan masa sehingga jam 9 malam. Hari pertama jer dah memborong. Belum lagi masuk hari seterusnya.

Di Bandung ni duduk la hotel mana pun, kalau tak nak bersiar-siar tak perlu sewa kereta dan supir sebab membazir. Guna perkhidmatan Grab sangat mudah dan murah. Kami hanya bayar IDR21,000 (RM6) untuk ke rumah Mode. Kalau kita ramah boleh deal dengan pemandu Grab kalau nak melawat tempat-tempat di luar Bandar Bandung.

Sebenarnya masa perjalanan dari airport ke hotel pemandu yang membawa kami ada offer untuk bawa kami ke Kawah Putih dengan harga IDR750,000 (RM210). Perkhidmatan tu dah termasuk petrol dan supir sekali untuk 12 jam. Tapi kami kata akan hubungi semula. Kalau ikut memang dah murah sangat dan di Malaysia tak akan dapat pemandu bawa kita ronda-ronda 12 jam bayar RM210 tu. Tapi sebelah petang masa ke Rumah Mode pula sambil berborak dengan pemandu Grab dia offer lagi murah. Untuk 14 jam dan dia bawa ke Kawah Putih dan tempat-tempat lain yang menarik dan berjalan dalam bandar Bandung dia offer IDR500,000 (RM140). Apa lagi kami pun terus minta dia bawakan kami keesokan harinya.

So, Tips kat sini kalau nak jalan jauh jer baru sewa kereta. Selebihnya nak ke mana-mana naik lah Grab. Sebenarnya untuk ke airport naik Grab harganya jauh lebih murah. Hubby check tengok harga hanya IDR19,000 dari hotel penginapan kami. Bayangkan kereta airport charge kami IDR200,000. So balik nanti memang Grab lah pilihan kami.

Selesai shopping di Rumah Mode kami berjalan kaki jer ke Restauran nasi padang Sederhana yang terletak di sebelah Rumah Mode. Sebenarnya banyak jer kedai makan di dalam kawasan Rumah Mode cuma saya nak makan di tempat lain.

Sampai di hotel jam lebih kurang 10.30 malam. Di lobby hotel tersedia teh halia panas percuma untuk tetamu hotel. So kami pun cuba lah teh halia tu. Ianya sangat pekat dan tersangat manis. Kena tambah air kosong baru boleh minum. Di hotel ni masa datang pun ada disediakan welcome drink. Tapi self service la. Hotel ni juga ada SPA yang harganya pun agak berpatutan. Yang ni saya akan cuba selepas penat berjalan di Kawah Putih nanti.

Sampai di bilik kami terus mencuba semula baju-baju yang dibeli. Mr. Hubby rupanya beli lagi banyak pakaian dari saya. Patut la lama sangat dia memilih tadi. Sebenarnya kalau nak ke Bandung ni tak perlu bawa baju banyak-banyak sebab kita pasti akan shopping dan pakai la baju yang dah di beli tu. So bag pun tak berat.

Untuk hari pertama destinasi kami hanya di Rumah Mode. Esok kami merancang ke Kawah putih dan lain-lain tempat. Jika ada kesempatan esok saya update tempat-tempat menarik yang bakal kami kunjungi. Sehingga bertemu lagi di lain entry – SNB.

 

Cuti-cuti Malaysia – Expressionz Professional Suite

WhatsApp Image 2018-09-11 at 23.28.13

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Untuk entry kali ini saya akan menulis berkaitan percutian saya di bandaraya Kuala Lumpur.  ‘Take-5″ dulu dari berkongsi kisah-kisah IUI dan IVF.  Yang sebenarnya saya cuba nak lupakan kekecewaan ekoran daripada kegagalan IVF saya baru-baru ini.

Apa yang kelakarnya tempat pilihan saya kali ini tidak sampai 500 meter dari kawasan pejabat saya. Boleh nampak dengan jelas kedudukan pejabat saya dari tempat penginapan kami. Untuk makluman, pada 9 Sept 2018 saya, Mr. Hubby, adik saya dan anak kakak saya telah bercuti di Expressionz Professional Suites di Jalan Tun Razak. Cuti ni juga adalah sebelum adik saya balik ke Sarawak selepas menjaga saya dengan baiknya semasa proses IVF berlangsung sehingga keputusan yang menyedihkan saya terima. Apa pun saya redha ketentuan dari Ilahi.

WhatsApp Image 2018-09-11 at 23.28.12 (1)

WhatsApp Image 2018-09-12 at 00.17.49

Bagaimana pemilihan dibuat adalah secara last minute. Cuti hujung minggu yang panjang bersempena sambutan Harijadi Agong dan Maal Hijrah menyebabkan kebanyakan tempat-tempat menarik yang ingin kami lawati semuanya fully book. So Hubby mencadangkan bercuti di Kuala Lumpur di samping mengelak kesesakan lalulintas.

Berpatah balik pada tempat penginapan yang kami pilih iaitu Expressionz, kami tempah melalui Booking.com. memandangkan kami ada 4 orang yang akan bercuti jadi kami cuba memilih penginapan berbentuk condominium yang mempunyai kemudahan yang menarik serta mempunyai pemandangan yang cantik. So, melalui gambar kami terjumpa tawaran yang amat menarik dan harga hanya RM208 semalam untuk 4 orang.

Apa yang nak saya share adalah, jangan tertipu dengan gambar-gambar yang ditunjukkan di dalam iklan tersebut. Jika dilihat melalui gambar-gambar kami fikirkan ada ruang tamu, ada 2 bilik dan ada bathtub. Sebaliknya bila sampai alangkah hampanya, rupanya unit yang kami dapat adalah sebuah studio apartment yang dimuatkan dengan 2 katil queen size membuatkan keadaan bilik tersebut amat sempit. So memang tak ada privacy langsung. Dari segi bilik memang mengecewakan sebab tidak seperti yang kami bayangkan. Actually gambar-gambar yang diiklankan agak mengelirukan dan mengabungkan gambar-gambar yang serupa tak kira kategori bilik. Saya siap bawa bath salt untuk berendam. Malangnya bathtub hanya ada di dalam gambar dan mungkin ada di unit lain, bagi unit kami tiada. Unit kami berada di tingkat 27 dan no. bilik adalah B-27-01.

Di sini terdapat dua blok iaitu A dan B. Saya rasa Block A mungkin lagi menarik sebab di Blok A ini ada menempatkan kolam renang infiniti di ‘rooftop’ tingkat 48 yang mana pemandangannya sangat menarik. Menara berkembar KLCC dan Menara KL dapat dilihat dengan jelas dari tingkat 48 ni. Point ini sahaja yang membuatkan saya terfikir untuk kembali sebab pada kunjungan kali ini saya tak berkesempatan berenang walaupun Mr. Hubby dah semangat hadiahkan baju renang muslimah untuk saya. Tapi apakan daya kita wanita ni ada jer halangannya. Tapi jika berkunjung lagi di sini kena lah request bilik yang lebih sesuai dan kedudukannya di Blok A. Mungkin next time boleh menempah melalui AirBnB sebab kita boleh berhubung terus dengan pemiliknya. Jadi tidak tertipu dengan gambar.

Dari sudut positifnya pula bagi yang nak bercuti dengan keluarga dan mencari bilik yang ‘value for money’ tempat ini boleh dipertimbangkan. Cuma kita tak ada privacy sebab terpaksa berkongsi 1 bilik air dengan yang lain dan terpaksa menunggu.  Dari segi biliknya pula, kelengkapan memang complete. Siap ada microwave dan washing machine with dryer. Hanya ruang agak sempit. Untuk solat pun ruangnya sangat kecil bagi unit yang kami dapat.

Untuk makluman di sini terdapat dua kolam renang. Satu terletak di tingkat 8 yang terletak di antara Blok A dan B, manakala satu lagi terletak di tingkat 48 di ‘rooftop’ Blok A. Di tingkat 8, terdapat lebih banyak fasiliti untuk bermandi seperti jacuzzi, rain shower pool dan pool yang besar menghadapkan bukit-bukau di sekeliling Kuala Lumpur. Selain daripada itu terdapat juga sauna dan bilik permainan kanak-kanak.

Yang di tingkat 48 ni adalah infiniti pool yang berlatarbelakangkan pemandangan KLCC. Ianya lebih sesuai mandi di sini pada sebelah petang. Jika sebelah pagi sangat panas kalau dah masuk jam 9.30 pagi ke atas. Tapi bagi yang nak sun bathing tu amat sesuai. Ada juga tetamu yang tak tahu ada dua kolam renang sebab di tingkat 8 agak ramai orang dan tingkat 48 ni tak ramai sangat pengunjung. Nak masuk ke kolam renang di tingkat 48 ni kena bawa pass ya. Di tingkat 8 tu tak der kad pun tak per. Tapi untuk untuk naik ke bilik memang perlukan kad.

WhatsApp Image 2018-09-12 at 01.08.54

WhatsApp Image 2018-09-12 at 00.11.24

Di samping kolam renang di Blok B, tingkat 41 yang teratas, terdapat sky dan floating lounge. Menarik juga di mana kita boleh lah melepak di sini di sebelah malam. Bagi yang nak berkaraoke juga di sini ada private function room beserta bilik karaoke dan lounge yang luas. Pada masa kami di sana bilik tersebut telah ditempah tetamu yang lain. So, kami hanya lepak di luar sambil menikmati pemandangan KL kota metropolitan.

Kami check out pada jam 12 tengah hari. Untuk makluman masa untuk check in pula adalah pada jam 3 petang. Proses check out sangat simple. Pihak pengurusan hanya menghantar message dan kita just tinggalkan kunci di bilik tersebut dan maklumkan pada owner/wakilnya.

Itu sahajalah percutian sehari saya di KL. Sehingga bertemu lagi di lain entry… SNB

WhatsApp Image 2018-09-12 at 00.03.42

Keputusan IVF Pertamaku

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Hari ini saya abadikan di blog ini keputusan proses IVF yang telah saya jalani pada 20.08.2018 (ET).  Bagi yang pernah melaluinya pasti akan tahu bertapa siksanya penantian bagi tempoh 2 minggu sebelum keputusan IVF tersebut diketahui. Ianya bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai cabaran perlu dilalui.

Setiap orang pasti punyai cara tersendiri untuk memenuhi tempoh 2 minggu menunggu tersebut (two week wait -TWW). Dalam tempoh ini pesanan Dr. yang paling penting kita tak boleh stress, jangan marah-marah, nak gelak pun tak boleh kuat-kuat. Pendek kata apa-apa aktiviti yang boleh mendatangkan impak di bahagian abdominal perlu dielakkan. Tapi malangnya dalam tempoh selepas ET juga lah batuk bertandang dan saya cuba sedaya upaya kawal keadaan batuk tersebut.

Sepanjang tempoh 2 minggu saya habiskan di rumah sahaja. Tidak lah bed rest secara terbaring berterusan di katil, namun saya hanya ada di rumah dan pergerakan saya terbatas hingga ke ruang tamu atau dapur dan pergi ke klinik. Saya habiskan masa dengan aktiviti seperti solat (saya tak solat duduk, solat seperti biasa), berzikir, membaca Al-Quran, baca buku-buku agama dan habiskan juga masa di handphone. Tugas pejabat yang cuba dihindari juga datang dan terpaksa juga dilayan melalui telefon. Sememangnya 2 minggu tersebut dirasakan sangat lama. Namun demi keinginan untuk punyai cahayamata sendiri seperti pasangan lain ditempuh juga dengan sabar. Adik saya dari Sarawak pun datang membantu untuk menjaga keperluan makan dan minum saya bagi tempoh 2 minggu ini especially penjagaan part makan dan minum, juga menjadi my personal driver.

Pada ketika ini memang saya akui saya tak boleh tidur dengan lena. Mungkin terlalu banyak berehat di siang hari. Baru nak tidur lena alarm berbunyi menandakan perlu masukkan ubat pada jam 5 pagi dan 7 pagi pula utk makan vitamin. Bagi ubat yang 3 kali sehari tu pula kita terpaksa berbaring 1 jam selepas ubat dimasukkan. Masa-masa untuk makan ubat saya memang set di alarm handphone sebab semua ubat-ubat perlu diambil tepat pada masanya. Dr. maklum sebaik-baiknya tak boleh melebihi 15 minit. Ada ubat yang perlu diambil sekali sehari, ada yang 2 kali sehari dan ada yang 3 kali sehari. Begitu lah saya aturkan masa-masa saya.

Dr. membuat perkiraan akan membuat ujian kehamilan terhadap saya pada hari ke 16 iaitu pada hari Selasa 4.9.2018. Dr. pesan jangan check sendiri bagi mengelakkan stress. Tapi apa berlaku pada 3.9.2018 hati saya tak tenang namun saya berjaya juga menahan diri dari membuat ujian sendiri. Sehinggakan saya pada malamnya tak boleh nak tidur. Bila terjaga jam 3 pagi saya buat solat Tahajud dan Solat Hajat memohon bantuan pada yang Esa. Pagi tu selepas masukkan ubat pada jam 5 pagi saya sempat terlena. Bila jam menunjukkan jam 9 pagi cepat-cepat saya ajak suami ke klinik. Kami sampai di Klinik dalam jam lebih kurang 10 pagi.

Sesampai di klinik Mey saya diminta memberi sample urine untuk dibuat ujian kehamilan melalui air kencing terlebih dahulu. Selesai memberi sampel saya menunggu sebentar sebelum Dr. memanggil ke dalam bilik. Saya sentiasa ditemani Mr. Hubby. Sanggup pula dia ambil cuti untuk temankan saya. Tq Mr. Hubby yang selalu bagi semangat di saat saya bersedih dan down. Suami yang sentiasa memahami diri ini. Hati berdebar hanya Allah yang tahu. Akhirnya saya terima keputusan ujian air kencing yang mana keputusannya adalah negatif. Sedihnya hanya Allah yang tahu hingga bergenang air mata. Sedaya upaya saya tahan supaya tak tertumpah di hadapan Dr. dan nurse. Dr. Salini sabarkan saya dan kata akan buat ujian darah untuk lebih tepat. Sebelum itu Dr. scan perut untuk lihat keadaan rahim. Pada masa tu apa juga penerangan Dr. saya tak dapat fokus dah.

Part ambil darah pun tragis jugak. Banyak kali di cuba darah tidak keluar. Sehinggakan Dr. terpaksa bagi saya minum air dan rehat sebentar. Terpaksa tukar jarum kepada jenis butterfly. Cubaan ke 5 rasanya baru berjaya. Lebam-lebam lah juga tangan dibuatnya. Jarum jenis butterfly ni boleh tahan juga sakitnya.

Selepas sampel diambil saya segera minta keluar. Dr. tanya nak bagi keputusan ujian darah melalui call or whatsApp. Saya jawab cukup WhatsApp.  Selepas membuat pembayaran saya segera keluar. Rasanya saya melangkah agak laju keluar dr klinik tersebut. Dah tak ada lagi jalan perlahan. Sampai di kawasan parking airmata yang ditahan keluar dengan laju. Suami cuba tenangkan saya. Semahunya saya menangis di bahu suami. Saat ini saya menangis teresak-esak. Suami sabarkan saya dan maklum jangan putus harap.  Nanti cuba lagi. Apa tidaknya selama tempoh 2 minggu tersebut saya bayangkan embryo kami telah ada di rahim saya. Saya telah nampak dua embryo tersebut membahagi. Masa menjaganya saya membayangkan diri mengandung dan selalu mercakap-cakap dengannya untuk duduk dengan baik di rahim saya. Setiap sujud terakhir tidak pernah lupa saya memohon pada Allah untuk kedua-dua embryo tersebut berkembang menjadi baby-baby yang sihat. Saya telah cuba sedaya upaya menjaganya.  Bila tahu gagal terasa kehilangannya macam tak boleh diterima.

Lebih kurang jam 3 petang saya dihubungi oleh nurse di Klinik Mey bagi memaklumkan keputusan darah. Berharap iyanya berita yang mengembirakan tapi gagal juga. Sekiranya mengandung tahap Beta HSG sekurang-kurangnya 2 di perlukan. Tapi untuk saya amat jauh. Paras beta HSG saya cuma 0.6. Begitu la berakhirnya perjalanan IVF pertama saya. Ianya menemui kegagalan dan amat menyedihkan. Dengan usia saya yang makin meningkat mampukah lagi untuk saya lalui IVF yang lain. Ditambah pula dengan kos IVF yang bukannya sedikit.

Hari tu suami cuba hiburkan hati saya dengan membawa saya berjalan-jalan. Kami menonton Cerita Hantu Kak Limah di IOI Setia Mall Putrajaya. Memang cerita ini amat menghiburkan dan dapat hilangkan sedikit tekanan. Namun bila bercakap dengan emak dan ayah pasti air mata tak dapat dibendungkan. Mereka pun turut tidak henti mendoakan untuk saya. Sayu hati bila bercakap dengan mereka. Adik saya yang paling brutal yang setia menjaga saya pun menangis dan minta saya bersabar. Kesedihan IVF ni lebih dari kegagalan IUI. Mungkin sebab kita dah nampak embryo kita dan telah melalui dibius sehingga tak sedar dan pelbagai lagi.

Doakan saya tak putus harap. Kepada yang senasib dengan saya semoga perjalanan kita semua dipermudahkan. Bukan senang untuk mendapat Zuriat dan mendapat berita cubaan yang dibuat gagal juga memerlukan kekuatan.

Bukan sekadar berhabis wang ringgit, masa, dan usaha. Namun perlukan juga kesabaran dan ketabahan yang kuat. Semoga perjalanan semua warga TTC dipermudahkan dan mendapat perkhabaran yang diidamkan. Moga bertemu lagi kita di lain entry yang mendatang. Mana tau saya dianugerahkan mengandung secara normal. Kuasa Allah kan. Kun Fa ya Kun. Insyallah- SNB

 

Perjalanan IVF Pertama – Part III

Assalamualaikum dan salam sejahtera….

Seperti saya janjikan, now saya update sedikit berkaitan IVF yang sedang saya lalui.  Ketika saya menulis ini telah masuk hari ke-15 selepas Embryo Transfer (ET) yang telah dijalankan pada 20.08.2018.  Tapi sehingga kini saya masih belum tahu keputusannya kerana esok 4.9.2018 (Selasa) barulah Dr. akan buat ujian kehamilan. Saya perlu bertabah untuk sehari sahaja. Tempoh menunggu selama 2 minggu ini rupanya amat mencabar bagi insan yang senasib dengan saya. Insan yang mendambakan kehadiran permata hati. Hanya mereka yang melaluinya akan faham perasaan ini.

Sebenarnya terdetik dalam hati untuk membuat ujian sendiri tapi atas nasihat Dr. dan Mr. Hubby saya bertabah juga untuk menunggu sehingga ke hari esok. Apa yang akan terjadi esok hanya Allah S.W.T yang mengetahuinya. Doakan saya redha menerima apa jua keputusan yang bakal diketahui nanti.

Saya imbas kembali proses ET yang lepas. Pada 19.8.18 sebaik selesai update blog ni (Part II) saya terima panggilan telefon menyatakan terdapat 5 biji telur yang berjaya dikeluarkan tapi hanya 2 sahaja yang berjaya fertilize. Saya diminta datang ke Metro IVF Klang pada 20.8.18 jam 6.30 pagi untuk proses pemindahan Embryo (ET). Proses ET dijangka akan berlangsung pada jam 7 pagi.

Dipendekkan cerita pada 20.8.18, 5 minit lagi ke 6.30 pagi saya dan suami telah sampai di Metro IVF Klang. Seperti biasa kami perlu mendaftar dan saya diminta untuk tukar baju dan menunggu di ward. Untuk makluman bagi proses ET ni juga suami dan isteri tidak dibenarkan untuk memakai sebarang pewangi, lotion, diadorent, dan makeup. Ini bagi mengelak contamination pada machine yang bakal digunakan di Operation Room nanti.

Bagi proses ET sebelum saya di bawa masuk ke Operation Room, saya telah diberi 3 gelas air kosong untuk di minum dan seterusnya saya tidak dibenarkan kencing hingga 2 jam lamanya selepas ET.

Jam 7 pagi saya di bawa oleh nurse menggunakan kerusi roda dengan diiringi Mr. Hubby ke Operation Room. Sebelum itu kami diberi peluang melihat embryos yang terhasil. Embryologist yang bertugas menerangkan bahawa Embryo yang terhasil adalah Grade 3. Yang terbaik adalah Grade 1 dan yang paling tak elok adalah grade 5. Jadi kami ni pertengahan. Satu embryo bertumbuh agak cepat manakala satu lagi pada tahap normal. Sedikit kesedihan bertandang di hati tapi penjelasan embryologist menyatakan ada juga kejayaan untuk Grade 3 melegakan sedikit kerisauan yang mula bertandang. Melihat sahaja embryo tersebut hati terasa sayu dan berdoa baby hadirlah dalam hidup Mama dan Papa. Kami rindu kehadiran kalian. Betapa besarnya kuasa Allah S.W.T mampu mencipta manusia yang boleh mencipta teknologi IVF ini.

Selesai sesi penerangan saya dibawa masuk ke bilik Operation Room di tingkat 2 iaitu tempat yang sama Ovum Pick Up (OPU) dilakulan. Cuma kali ini yang berbeza Mr. Hubby dibenarkan masuk menemani dan pemindahan dilakukan tanpa bius. Maksudnya saya sedar apa yang dilakukan oleh Dr. Menurut Dr. Tee saiz rahim saya sesuai. Dr. Tee juga sempat berborak minta jaga pemakanan dan jangan melakukan aktiviti-aktiviti lasak bagi tempoh 2 minggu. Antara buah yang baik adalah Buah Dragon Fruit dan kiwi. Perlu dielakkan buah nenas, betik, tembikai, pisang dan kelapa. Makanan menggunakan herba juga tidak digalakkan untuk diambil.

So bila tiba masa pemindahan Dr. Minta fokus pada screen yang mana dia memaklumkan dia akan melepaskan Embryo kami dikedudukan yang terbaik di rahim. So bila dilepaskan dapat nampak benda kecil yang bersinar namun tidak berapa jelas sebab saiz embryo tersebut sangat kecil. Moga selesa embabies mama papa di dalam rahim mama dan terus membesar hingga ke 9 bulan menjadi baby yang sihat.

Selesai ET saya di tolak masuk ke ward oleh nurse. Terbaring dengan keadaan terlentang tanpa alas di kepala membuatkan saya berasa pening. Sampai di katil untuk tempoh 2 jam saya tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang pergerakan melibatkan bahagian abdominal kecuali tangan dan kaki. Situasi ini sangat mencabar dengan perut yang telah terasa kembung dengan air. Saya cuba untuk tidur tapi tak berjaya. So saya guna handphone untuk menghabiskan masa 2 jam tersebut.

Akhirnya tempoh 2 jam berakhir. Tempat pertama saya tuju adalah tandas. Dengan perlahan saya melangkah walaupun rasa nak kencing tu Tuhan jer yang tahu. Tapi demi embabies mama perlahankan jalan seperti orang lepas bersalin gayanya.

Selesai di tandas saya kembali semula ke ward. Masa ni Dr. Sailani melawat. Beliau meminta maaf kerana tak sempat bersama-sama semasa proses ET. Tapi saya katakan ok. So beliau terangkan do n dont selama tempoh 2 minggu dan sekiranya berjaya perlu diteruskan hingga ke 3 bulan kandungan. Dia maklumkan pd Mr Hubby jangan bagi saya buat kerja2 berat. Hanya kerja2 ringan jer. Selepas tu nurse pula datang bagi ubat. Kali ini ubat yang sama masa OPU dibekalkan cuma tambahannya ada aspirin dan perlu injection setiap 1 minggu.

Saya di ward sehingga jam 12 tgh hari. Mr. Hubby saya menghilang entah ke mana. Sedih juga sbb nak air kena panggil nurse. Masa ni tetiba rasa sensitif.  Selesai lunch baru kami balik. Saya diberi cuti sakit selama 1 minggu. Sementara suami menguruskan MC saya saya berjalan ke kereta yang diparking di hadapan hospital. Buka kereta saya ternampak ada fruit basket di dalam kereta. Rupanya suami hilang tadi mencari buah Dragon fruit dan bunga. Lupa segala sedih dan diganti dengan rasa terharu. Tq Mr. Hubby sayang.

Kali ini saya terus balik di apartment kami di Bukit Jalil. Reasonnya tak duduk di Denai Alam sebab diperingkat awal saya tak nak naik tangga. So di Bukit Jalil la tempat saya menginap untuk tempoh 2 minggu. Cuma bila ke klinik saya akan menginap di Denai Alam kerana berhampiran dengan Klinik Mei. Itu pun saya hadkan pergerakan naik tangga hanya sekali sahaja sehari. Bagi tempoh ini makan minum saya dijaga olek Kakak yang kebetulan datang ke KL dari Sarawak untuk menghantar anaknya ke UITM Shah Alam. Hari-hari seterusnya adik saya dari Sarawak mengambil cuti sehingga 2 minggu bagi menemani saya. Terharu sungguh dengan pertolongan mereka demi nak membantu kakak/adiknya mendapat Zuriat. Jadi tidak lah saya sunyi sangat sepanjang tempoh 2 minggu menanti ni sebab ada peneman.

Tapi untuk tempoh 48 jam selepas ET Mr. Hubby lah yang membantu saya. Buat petama kalinya suami memasak sayur tauge dan ayam goreng. Walaupun sayurnya berminyak makan juga dengan berselera sebab lapar. Sejak buat IVF ni saya asyik lapar. Mungkin juga kesan pengambilan pelbagai ubat. Pelu juga minum air 2 liter atau lebih sebab even dah minum 2 liter air bibir saya masih kering.

Selepas 24 jam suami saya telah bawa ibu dan maid ibunya ke rumah. So dia tak memasak lagi. Kebetulan juga hari ke 3 selepas ET merupakan Hari Raya Aidiladha. So keluarga sebelah suami datang ke rumah dengan membawa sendiri lauk-pauk. Ibu mertua siap buat rendang ayam, rendang daging dan kuah satey bersama nasi himpit. Kakak ipar lak buat Laksa kedah. Tn. Rumah tak dapat nak masak-masak. Itulah Raya Haji pertama di Bukit Jalil. Walau tanpa persiapan jadi meriah juga dengan kehadiran sanak saudara. Saya memang banyak berehat di katil dan sekali sekala duduk di ruang tamu bersama keluarga suami. Mujur ahli keluarga memahami sebab suami dah explain.

Sehingga ke hari ini telah 15 hari ET berlalu. Esok penentu segalanya. Ada satu ketika dalam solat saya menangis bila terasa simptom-simptom macam period nak datang. Tetapi pemeriksaan susulan di Klinik sebanyak 2 kali menampakkan rahim saya bertambah baik dengan keadaan ovari yang telah sembuh. Dr. kata kira cepat juga la penyembuhan ovari saya. Tapi masa ni tak akan nampak apa-apa lagi. Kena tunggu sehingga another 2 or 3 weeks untuk melihat kantung sekiranya IVF berjaya.

Kepada yang membaca doakanlah IVF saya ini berjaya. Saya doakan juga mereka yang senasib dengan saya juga dipermudahkan untuk mendapat zuriat yang dinanti.

Sehingga kita ketemu lagi di entries yang lain Insyallah. – SNB

 

 

 

Perjalanan IVF Pertama – Part II

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua…

Since saya terlalu banyak masa terluang hari ini sebab waktu ni kena banyak rest sebab baru jer jalani Ovum Pick Up (OPU). So saya ambil kesempatan untuk update info berkaitan Prosedur IVF yang tengah saya lalui…

OPU ni proses kutip telur-telur kita yang telah matang setelah dirangsang dengan hormon kesuburan. Telur-telur yang dah matang ni ukurannya hendaklah sekurang-kurangnya 17mm. Kecil dari itu persenyawaan tidak boleh dilakukan. Pada hari OPU ni juga Mr. Hubby akan keluarkan sperma dia. Seterusnya telur-telur ini  akan disenyawakan di dalam lab oleh embryologist yang bertauliah. Boleh dikatakan embryologist ni la baby sister pertama baby_baby IVF ni. Mereka lah yang akan menjaga dan memantau pertumbuhan telur-telur yang telah disenyawakan.

Yang lepas saya nyatakan bilangan telur saya hanya satu jer matang. Tapi last sekali pada hari Khamis yang lepas ada tiga biji telur akhirnya matang. So tarikh untuk OPU yang dirancangkan pada hari Jumaat telah diubah pada hari Sabtu.

Hari yang dijanjikan tiba juga. Seawal jam 6 pagi petugas dari Metro IVF Klang telah hubungi saya untuk ingatkan saya untuk datang sejam awal dari jadual. Proses OPU saya dijadualkan pada jam 8 pagi. Wow memang saya respect la cara mereka ni. Sehari sebelum iaitu petang jumaat saya telah dihubungi oleh nurse daripada Mey Clinic untuk terangkan berkaitan prosedur. Antara yang dimaklumkan adalah

1. Tak boleh menggunakan sebarang pewangi, make up, lotion dan deodorant. Perkara ni applies to husband and wife.

2. Isteri (saya)  dikehendaki berpuasa dari jam 12 tengah malam. Tak boleh makan or minum ya.

3. Mandi tak boleh pakai syampoo or sabun.

4. Tidak memakai barangan kemas dan jam serta datang sejam awal.

Saya sampai di Metro IVF Klang pada jam 6.50 pagi. Perjalanan dari rumah ke Klang tak jauh mana di samping jalan yang langsung tak jam. Sempat pagi tu saya buat solat hajat dan berjemaah dengan hubby memohon agar perjalanan IVF ini dipermudahkan dan diberi kejayaan.

Sampai saja kami terus ke tingkat 2 untuk pendaftaran dan diambil keterangan diri. Seterusnya dijelaskan berkaitan prosedure. Selesai saya terus ditunjukkan katil saya yang mana selepas OPU saya akan berehat di situ selama 4 jam.  Sampai di katil yang dikhaskan, saya diminta menukar pakaian yang telah disediakan. Kena buka semuanya. Hanya pakai baju yang disediakan. Sempat saya dan hubby merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan.

Seterusnya saya diminta duduk di atas kerusi roda dan dibawa ke tingkat satu, iaitu tempat operation room. Sebelum prosedure bermula saya diminta membuang air terlebih dahulu. Sampai di dalam Operation Room saya diminta berbaring di atas katil yang disediakan. Betul-betul mendebarkan. Saya menunggu sebentar disebabkan Dr. Bius masih ada kes kelahiran. Tapi tak lama selepas itu Dr yang dinanti sampai. Dr. Salini dah ada dan pagi tu rupanya prosedure OPU tu akan dilakukan oleh Dr. Tee. Beliau merupakan senior Dr di situ dan telah terkenal dalam bidang ini.

Dipendekkan cerita, saya mula dicucuk jarum di tangan untuk memasukkan ubat bius. Memang sangat sakit bila jarum ni dicucuk.  Inilah pengalaman pertama saya dibius secara total. Tak sampai 10 saat saya telah tidak sedar apa-apa. Sedar-sedar saya sedang dipindahkan semula ke katil saya di ward tingkat 2. Jadi saya memang langsung tak sedar dan saya tak tahu apa yang berlaku di dalam operation room tu. Masa tu kepala saya masih berat dan saya sambung tidur. Mr. Hubby setia jer menunggu di sebelah katil. Hanya selepas 2 jam baru saya boleh membuka mata dan terasa sangat dahaga. Saya minta Hubby cari air tapi tak dibenarkan. Jam 12 tengah hari baru mereka akan bagi makanan untuk saya. Makanan yang dibagi bubur dan apple.  Dah lapar semuanya sedap. Maksudnya lama juga lah kita kena berpuasa.

Dalam masa yang sama nurse sentiasa memantau bacaan blood presure. Tak lama lepas tu seorang nurse datang untuk mengajar cara-cara memasukkan ubat Utrogestar melalui Vagaina. Ubat ni kena diambil on time 2 biji 3 kali sehari. Jadi saya tetapkan untuk ambil pada jam 5 pagi, 1 petang dan 9 malam. Reason saya pilih masa tu adalah untuk memudahkan saya melakukannya semasa waktu rehat dan tak tekejar-kejar semasa kerja nanti. Untuk makluman selepas ubat ini dimasukkan kita dikehendaki berbaring selama 1 jam. Selepas Embryo Transfer (ET) nanti pun ubat yang sama ini akan diteruskan.

Untuk kali ni saya di bagi 3 jenis ubat iaitu Utrogestar, antibiotik dan Progynova tablet. Kesemua ubat ini perlu diambil on time. Selepas OPU ni kita akan mengalami sedikit demam, terdapat sedikit spot darah pada pad tetapi tidak boleh melebihi 1/4 daripada pad dan mild tummy cramp, bloating dan rasa kurang selesa di perut. Masa ni juga kita diminta makan makanan lembut seperti bubur dan roti. Kita juga tidak dibenarkan driving untuk hari selepas OPU. Pendek kata dalam masa 24 jam jangan drive dan rest jer kat rumah ya…

Seterusnya jika terdapat tanda-tanda seperti pendarahan yang banyak, demam yang kuat, sakit perut yang luar biasa so kena pergi ke hospital. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar untuk saya.

Saya doakan telur-telur saya tu boleh bersenyawa dengan baiknya. Saya akan dihubungi pada hari ini (Ahad) untuk tentukan tarikh ET samada pada hari Isnin atau aselasa. Saya juga dimaklumkan ujian progesterone darah saya juga ok dan sekiranya semua berjalan lancar ET boleh dijalankan.

Untuk makluman sekiranya ujian Progesterone tak ok, ET tak boleh dijalankan  dan terpaksa ditangguh pada circle yag seterusnya.

Seriously bagi mereka yang active seperti saya bila terpaksa bergerak secara perlahan dan duduk berehat tanpa buat apa-apa memang sangat membosankan. Saya siap ditegur nurse untuk berjalan perlahan selepas OPU. Mereka pesan jangan angkat barang-barang berat, jangan stress dan jaga pemakanan.

Paling terharu Mr. Hubby yang tak pernah memasak ringankan tangan memasak bubur untuk saya. Even bahan-bahannya saya sediakan tetapi dia lah orangnya yang tunggu bubur sayur saya tu masak. Oh ya masa lepas OPK dan ET nanti kita tak boleh makan herba-herba ya. So soup pun tak digalak makan. Makanan yang pedas masa ni juga perlu dielakkan.

Kepada yang di luar sana yang senasib dengan saya, masih menunggu permata hati moga perjalanan kita dipermudahkan dan dikurniakan zuriat yang dinantikan. Dokan perjalanan IVF saya menemui kejayaan ya.

Insyallah selepas ET nanti saya update semula. Ni masih nervous juga sebab pihak klinik sehingga jam 2.20 pm masih tidak menghubungi saya – SNB

Dari IUI ke IVF…. LPPKN ke Metro IVF – Part I

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Terasa sangat lama blog ini ditinggalkan tanpa sebarang update terkini. Alasannya kekangan tugas dan masa yang tidak mengizinkan.  Di tambah pula dengan cubaan 4 kali IUI di LPPKN menemui kegagalan.  Semangat diri bagaikan berkurangan.

Namun, selagi ada ruang dan peluang saya positifkan diri dengan menguatkan hati untuk tidak mudah mengalah sebelum berusaha. Hari ini kebetulan ada ruang untuk update kerana balik awal selepas membuat TVS di Klang, so hati tergerak pula untuk abadikan pengalaman IVF yang pertama. Semoga ianya boleh dijadikan rujukan dimasa akan datang untuk diri sendiri dan sesiapa yang senasib dengan saya.

Nak dijadikan cerita pada 3 Julai 2018 period saya datang dan saya nekad untuk membuat rawatan IVF dan terus menghubungi LPPKN Jalan Raja Laut untuk membuat temujanji rawatan. Namun saya  dimaklumkan kena tukar dari Dr Ghaffar ke Dr. Kommathy dan untuk rawatan IVF di LPPKN saya harus  menunggu sehingga 3 bulan. Seterusnya PA kepada Dr Ghaffar tu bagi tau saya bahawa peluang untuk IVF dan IUI adalah sama. Saya katakan mana mungkin tapi dia tetap kata sama dan seterusnya panggilan saya dipindahkan kepada PA Dr. Komathy.  So saya diberi tarikh pada hari Jumaat untuk membuat pemeriksaan semula. So IVF bulan Julai memang tidak boleh dijalankan. Pada hari Khamis saya dihubungi semula oleh pihak LPPKN menyatakan appointment saya pada hari Jumaat terpaksa dibatalkan kerana terlalu ramai patient dan ditunda pada hari Selasa… Dengan LPPKN ni mereka boleh bebas pinda tarikh kita. Seperti saya pula faktor umur menyebabkan saya perlu bertindak cepat. Ada beberapa statement mereka yang buat saya mula ragu-ragu dan mula berfikir untuk membuat IVF di tempat lain.

Khuathir pada bulan Ogos benda sama berulang maka saya mula membuat carian di internet melalui Mr. Google berkaitan IVF dari segi kos dan sebagainya. Dari pencarian tersebut saya terjumpalah berkaitan dengan program Permata IVF Metro. So klinik yang terdekat dengan rumah saya adalah di Star Avenue (Klinik Mey). Jadi saya terus walk in dan membuat pertanyaan. Dengan mudah saya diminta datang berjumpa Dr. pada hari Sabtu minggu yang sama untuk sesi penerangan yang lebih terperinci oleh Dr. Salini.

Pada hari yang dijanjikan saya turut membawa rekod HSG dan rekod-rekod lain yang ada pada saya. Dr. yang akan memeriksa saya adalah dr. SALINI. Dr ni sangat lemah lembut orangnya dan senang berurusan. Setiap soalan saya dia explain dengan begitu jelas. Mula-mula sekali saya tanya berkaitan Program Permata IVF yang kosnya hanya RM9,000 seperti diiklankan. Saya dimaklumkan untuk melayakkan kita menyertai program tersebut kita kena membuat pemeriksaan bagi melihat berapa banyak follicle kita yang masih ada. Kalau melebihi 10 barulah boleh menyertai Permata IVF. So saya pun buatlah pemeriksaan melalui cara TVS. Bila diperiksa didapati saya mempunyai 11 follicle pada masa tersebut. Jadi saya layak lah menyertai package permata IVF. Namun disebabkan faktor umur saya yang dah mencecah angka 4 di hadapan tu Dr sarankan saya mengambil program Permata X yang mana ubat yang digunakan adalah lebih tinggi dosnya dan kosnya adalah RM11,000. Kos ini tidak termasuk ubat tambahan sekiranya perlukan dosage tambahan dan ubat selepas pemindahan Embryo juga tidak termasuk. Kos jika membuat IVF secara normal pula adalah dalam lingkungan RM17,000 ke RM20,000.

Jadi saya dan Mr. Hubby mengambil keputusan untuk mengambil program Permata X. Pada masa ni yang kami fikirkan kosnya lebih kurang dengan LPPKN. Tambahan pula di sini ada kemudahan bayaran secara installment sehingga 24 bulan. Perkhidmatan pula senang, tak perlu menunggu lama dan mengikut kesesuian masa kita. Pada hujung minggu minggu pun boleh berhubung dengan nurse sekiranya terdapat persoalan.   So begitulah kisahnya macam mana IVF saya dari LPPKN berubah ke Metro IVF. Kos untuk kali pertama berjumpa Dr. dan semakan follicle  tu adalah dalam lingkungan RM220. Bila dah setuju buat di situ suami diminta sekali lagi datang membuat pemeriksaan sperma dengan charge RM120 pada hari Khamis.  Yang ni kita tak perlu ikut, suami jer pun boleh pergi. So Mr. Hubby sy pergi sorang-sorang. Sebelum buat pemeriksaan tersebut Cik Hubby kena simpan sperma selama 3 ke 4 hari.

Jadi seterusnya saya diminta datang semula apabila period yang berikutnya. So, dalam masa menunggu tu harapan tetap disimpan agar dapatlah mengandung sebelum memulalakan IVF. Namun kuasa Allah mengatasi segalanya, saya dan hubby masih tiada rezeki. Period saya datang pada 4 Ogos 2018 (Sabtu). So dengan sedihnya saya pun Message nurse melalui no yang diberi. Sebenarnya saya memang mengharap sekurang-kurangnya period saya lewat seminggu seperti biasa. Tapi sejak 3 bulan ni apabila saya mula mengambil suppliment nama Elivit period saya datang tepat pada masanya. Kalau lewat pun hanya sehari dan bulan pertama makan tu saya kitaran period saya 28 hari jer. Biasanya 32 ke 35 hari.

Jadi pada hari ke 3 period iaitu 6/8/18 (Isnin) saya datang ke Klinik Mey. Ini adalah senarai ubat-ubat yang diberikan untuk package yang saya ambil.

1. Clomid 50 mg diambil 2 kali sehari selama 5 hari.

2. Foliculin 225 mg x 4 (Start cucuk pada hari ke 5 – 8/8/18) selang seli pada masa yg sama

3. Orgalutran 0.5ml x 4 (start cucuk pada hari ke 9 – 12/8/18) setiap hari pd masa yg sama

4. Asid Folic – setiap hari

5. Vitamin D – setiap hari

Oh ya untuk makluman lepas ambil ubat-ubat ni dan suppliment akan rasa badan panas dan mudah haus. Kesan yang saya alami saya cepat berpeluh dan selalu dahaga. So memang digalakkan minum air kosong minimum 2 liter sehari. Minum air banyak juga baik untuk pembesaran telur.

Dr. juga sarankan saya mengambil beberapa suppliment seperti Coq 10 & Vitamin D. Utk suami pulak Bio-Selenium Plus, Coq 10 dan Zink. So apa lagi saya beli semua yang Dr bagitau tu. Sebenarnya semua tu elok diambil 2 atau 3 bulan sebelum treatment. Namun apa boleh buat kami dah terlambat. Oh ya, pemeriksaan sperma suami tempoh hari keputusannya syukur Alhamdulillah ada peningkatan. Daripada Teratozoospermia kepada Normal sekarang. Namun Dr. sarankan untuk kami makan juga secara sihat dan elakkan makanan laut kecuali ikan. Daging juga tak digalakkan. Melalui pembacaan masa-masa ni tak sesuai untuk makan benda-benda tajam seperti nanas, air tebu, makanan masam dan pedas juga tidak digalakkan. Tapi kekadang saya terbabas juga makan yang pedas tu.

Pada hari ke 10 saya datang semula ke klinik untuk membuat TVS bagi melihat progress telur-telur saya. Alangkah sedihnya sebab hanya 4 biji telur sahaja yang menunjukkan response pada ubat yang diambil. Satu di sebelah kiri dan tiga di sebelah kanan. Dr. menjangkakan nak kutip telur-telur tu pada hari ke 14 iaitu pada 17/8/18 Jumaat. Sebab telur-telur saya kurang memberangsangkan jadi saya kena tambah suntikan foliculin sebanyak 150mg dengan kos tambahan RM360. Hati memang sedih, tapi Dr. bagi semangat kata boleh lagi untuk besarkan telur. Balik tu saya terus beli tauge, brocolli, ubi keledek dan ayam untuk dinner nanti. Usaha untuk besarkan telur-telur saya. Pengambilan air kosong juga saya tingkatkan.

So hari ni Day 12 (15/8/18) saya datang sekali lagi untuk TVS semula. Tapi kali ni di Klang sebab Dr. Salini ada tugas di sana. So jam 4 pm saya dah sampai dan tak lama menunggu. Lepas check telur dan keputusannya telur saya masih belum membesar pada ukuran yang dikehendaki iaitu sekurang-kurangnya 17 mm. Hanya satu yang berukuran 17 mm. Tiga lagi masih 14 mm. Tapi muncul pula sebelah kiri satu lagi telur dengan ukuran 8mm. Yang baru tu memang tak ada harapan untuk membesar ke 17 mm pada hari Sabtu kata Dr. (Hanya keajaiban jer yang boleh membuatkan telur tu membesar hingga 17 mm).  Disebab keputusan hari ini kurang baik saya kena tambah lagi suntikan foliculin 150 mg dan orgalutran. Jadi tarikh pick up telur terpaksa diubah pada hari ke 15 iaitu hari Sabtu. Dr. maklumkan kalau tak besar juga hari Sabtu tu hanya satu telur kena ambil sebab kalau terlalu matang juga tidak akan memberi keputusan yang baik. Masa ini lah baru saya menyesal tak ambil package biasa. Nak jimatkan kos tapi hasilnya telur kurang dari yang dijangkakan. Sedih bertamu dan menyesal pun tak berguna. Nak bagi dosage tinggi pulak tak boleh sebab takut mengejut dan merosakkan telur-telur yang dah ada. So nasihat saya kalau yang dah berumur 35 tahun ke atas ambil lah package biasa. Biar bayar lebih tapi hasilnya berbaloi.

Sekarang saya hanya berharap ada keajaiban bakal berlaku. Besok 7 malam kena jumpa Dr. lagi untuk lihat perkembangan telur-telur  ni melalui TVS. Telur-telur sila lah membesar dengan jayanya…

Sepanjang ber IVF ni macam-macam makanan yg disarankan saya turut ambil seperti sayur tauge, buah kiwi, kurma, air soya, telur,  ubi keledek, ikan dll. Segala usaha dan doa telah saya buat. Sekarang hanya berserah pada kekuasaan Allah SWT. Doakan IVF saya berjaya ya… saya juga doakan semua yang senasib dengan saya dikurniakan Zuriat yang dinantikan.

Kepada Mr. Hubby terima kasih atas segala sokongan dan sejak buat IVF ni Mr. Hubby rajin bantu saya di rumah. Moga hadirlah zuriat menghiasi perkahwinan kita.

Berjumpa lagi bila ada kelapangan…

Perjalanan IUI ke 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Agak lama dah saya tak menulis di blog ni. Hari ni tergerak nak luahkan perasaan di sini berkaitan proses IUI ke-2 yang sedang saya jalani sekarang.

Sebelum memulakan IUI ke 2 ni period saya dah lewat 8 hari dari kebiasaan. Namun belum rezeki kami untuk menimang cahaya mata Miss P muncul juga… memang agak sedih masa tu sebab sangat mengharap ada berita yang positif namun saya pasrah ketentuan Allah.

Last IUI saya buat pada bln April 2017 (Perjalanan IUI Pertama SueNalda… Part 1). Sekarang dah masuk bulan September 2017. Terlalu banyak halangan nak buat IUI. Cuti panjang juga antara faktor IUI tak dapat dibuat sebab LPPKN tutup dan appoinment hanya boleh dibuat dari hari ke 2 hingga ke 5 period. Tahun ni pula byk cuti bersambung jumaat dan isnin dan masa sebelum tu lah Miss P nak datang😢😢😢

So, bila dah period tu saya call lah LPPKN Jalan Raja Laut untuk buat appoinment. So pada CD4 (6/9/17) saya diminta datang ke LPPKN. Kali ni jumpa Doktor dia bagi saya ambil clomid untuk 5 hari seperti sebelum ini. Namun ubat suntikan kali ni Doktor ubah dan tambah dosage. Sebelum ni saya ambil Gonal 75 iu. Kali ni saya diberi ubat suntikan Puregon 100iu. So kos untuk semua ubat adalah RM512.30. Bagi pen suntikan kena bagi deposit RM100. Selesai guna kembalikan dan LPPKN akan masukkan dalam akaun kita. So sediakan no akaun untuk proses refund nanti dan make sure simpan resit dan kembalikan pen suntikan tersebut.

So suntikan Puregon kali ni setiap kali suntikan adalah sebanyak 100iu. Dibuat secara berselang bermula 7/9/12, 9/9/12 & 11/9/12. Kali ni adinda saya Syafinaz yang baru menamatkan pengajian dalam bidang perubatan yang mengambil tugas Mr. Hubby membuat suntikan pada sy. Menggunakan pen ni jarumnya sedikit besar dari yang sebelum ini.

Dr menjangkakan sekiranya telur yang saya hasilkan nanti menepati ukuran dan bilangan yang dikehendaki proses IUI ke2 saya akan dijalankan pada Jumaat 15/9/17. So sebelum tu pada hari ni 13/9/17 saya menjalani ultrasound TVS tu. Proses sama jer spt sebelum ini. Namun keputusan scan yang dilakukan amat menyedihkan. Kali ni hanya ada 3 telur. Dan hanya 1 telur jer yang besarnya mengikut ukuran yang dikehendaki iaitu sekurang2nya 19mm. Satu lagi hanya 12mm dan satu lagi mmg kecil dan Dr. Kata tiada harapan. Masa tu Allah jer yang tahu bertapa sedihnya hati ini. Terfikir juga adakah telur saya makin berkurangan? Tapi tiada jawapan untuk persoalan itu kerana hanya Allah yang mengetahuinya.

Bagi proses TVS hari ni saya hanya bayar RM30.

Disebabkan keputusan pembesaran telur tidak seperti yang dijangkalan Dr. Minta saya habiskan suntikan puregon yang berlebih dan datang semula pada 15/9/17 untuk sekali lagi melakukan TVS dengan harapan telur yg berukuran 12mm tersebut membesar dan telur yg sudah cukup besarnya terus ada dan x hilang.

Sekarang hanya berserah pada Allah agar perjalanan IUI ke2 ini dipermudahkan dan pada 18/9/17 sy boleh meneruskan proses IUI. Seandainya tiada telur yg membesar proses IUI ke2 tidak akan dapat dijalankan.

Pohon yg membaca doakan urusan saya dipermudahkan. Sekian dulu coretan kali ini…

 

Keputusan IUI Pertamaku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua…

Hari ini merupakan hari ke-18 proses IUI saya jalankan. Sepanjang tempoh selepas IUI yang saya lalui hingga ke hari ini (25.5.17) bermacam-macam perubahan saya rasakan.

Antara perubahan yang ketara adalah cramp di bahagian bawah abdomen… semakin lama semakin kerap, suhu badan naik, sakit belakang, kerap kencing dan rasa dizziness yang hilang dan datang.

Dari pembacaan yang saya lakukan pada hari ke – 14 selepas IUI dah boleh buat sendiri pemeriksaan kehamilan. Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan. Nak tunggu tempoh tu amatlah lambat di rasakan masa berlalu.

Saya diminta jumpa semula Dr. pada 30.5.17. Saya bagitau Mr. Hubby kalau ditakdirkan mengandung itu merupakan hadiah birthday paling berharga.

Dalam tempoh IUI ni saya sempat lagi membuat trip 2 hari 1 malam ke Bandung pada hujung minggu.  Pada masa tersebut sy cuba kurangkan berjalan. Tapi bila dah membeli belah lupa diri sedang buat IUI. Tapi selepas buat IUI tu di tempat kerja memang sangat busy dengan bermacam-macam aktiviti yang mana saya tak dapat elakkan atas dasar tuntutan kerja.

Balik pula saya kena pergi berbengkel seminggu di Putrajaya. Aktivitinya pula dari pagi hingga malam. Hotel yg diduduki attached dengan shopping complex. Walaupun belum penuh tapi ada farmasi Caring di situ.

Disebabkan perubahan yang sangat kerap pada hari ke-16 saya minta kebenaran pada Mr. Hubby untuk buat pregnancy test. Selepas pujuk dia kata ok. Cuma dia pesan apa jua keputusan saya kena bersabar dan redha. So saya setuju.

So, awal-awal pagi jam 3.30 pagi mcm tu sy bangun. Memang malam tu tak lena tidur sebab hati nak sangat buat test tu. So bangun jer sy terus ambil pregnancy test yang saya beli dari HERO supermarket sebab Caring dah tutup. Tunggu punya tunggu keputusannya sangat menyedihkan. Negative… dihati hanya Allah yang tahu.

Walaupun dalam hati memang dah rasa IUI Pertama ni gagal tetapi dalam hati tetap mengharap selagi Miss P tak datang. Pada siangnya saya beli lagi satu pregnancy test clear blue dari Caring. Sebab tak period lagi, so pagi 25.5.17 iaitu pada hari ke 18 sekali lagi saya lakukan ujian. Keputusannya tetap sama. So saya redha mungkin ini belum lagi rezeki saya.

Saya teruskan bengkel dengan hati yang sedih tapi saya tenang sebab keputusan saya dah tahu. Dalam pukul 11 pagi Miss Period pun datang dan confirm la IUI pertama saya tidak berjaya.

So, untuk seterusnya kena tunggu semula selepas raya. Doakan semoga perjalanan kami untuk mendapat Zuriat dipermudahkan.

Bagi para TTC di luar sana saya doakan semuanya dipermudahkan. Pengajaran untuk diri pada next IUI melancong bagai tu takkan lagi nak buat sehingga keputusan diterima. Juga akan apply 1 minggu cuti.

Kepada Mr. Hubby yg sentiasa bg sokongan dan menenangkan hati tqvm and I Love U.